Tuesday, January 5, 2016

Masih awal campur tangan! - FAM


Masih awal campur tangan!

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mahu terburu-buru membuat sebarang andaian berhubung nama Pamoga Qu Puteh TRW yang menjadi syarat Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sebelum bersedia menaja Kelantan dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2016.

Menurut sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika dihubungi Sinar Harian, masih terlalu awal untuk pihaknya masuk campur berhubung perkara itu memandangkan perbincangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dengan Hasmiza belum mencapai kata putus.

"Sekiranya benar nama itu akan digunakan Kelantan musim ini, kita akan semak perkara itu, tapi seperti saya katakan masih awal untuk kita ulas sebab risau maklumat itu tak tepat.

"Saya kalau boleh tak mahu mengelirukan berita ini, jadi saya rasa lebih baik dapatkan pengesahan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pasal status terkini antara perbincangan mereka dengan Qu Puteh," katanya.

Dalam laporan akhbar tempatan sebelum ini, Hasmiza memberitahu pihaknya hanya menunggu surat persetujuan rasmi mengenai penerimaan tajaan itu daripada Kafa.

Katanya Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menunjukkan reaksi positif terhadap syarat berkenaan.

Baru-baru ini, Hasmiza menetapkan dua syarat terhadap Kafa sebelum bersedia menaja pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2016.

Dua syarat tersebut melibatkan perubahan kepada warna Stadium Sultan Muhammad IV kepada merah jambu, manakala nama The Red Warriors ditukar menjadi Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Sementara itu, sumber terdekat Kafa memberitahu, nama Kelantan FA sepatutnya perlu dikekalkan berdasarkan klausa yang terkandung perlembagaan persatuan itu.
Cat stadium merah jambu antara syarat taja TRW
“Setakat ini tidak ada apa-apa perkembangan berkaitan pertukaran nama baharu pasukan itu. Saya pun tidak boleh beri komen lebih lanjut perkara ini.

“Cuma orang ramai perlu tahu, nama The Red Warriors adalah gelaran bagi pasukan Kelantan seperti juga Red Giants (Selangor) dan Southern Tigers (Johor Darul Ta’zim). Jadi, kalau nak tukar ke gelaran lain mungkin tidak ada masalah asalkan tidak menjejaskan nama Kelantan FA,” katanya

No comments:

Post a Comment

Connect With Us