
BERSYUKUR DENGAN REZEKI YANG DIKURNIAKAN, NAMUN SENTIASA INGAT BAHAWA KELAB KITA ADALAH TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA
Untuk makluman semua penyokong, pertama sekali adalah saya ingin mengingatkan bahawa walaupun saya adalah pemilik kelab JDT, kelab JDT juga adalah sebahagian milik rakyat Johor. Adalah menjadi tanggungjawab saya dan anda, untuk bersama-sama membangunkan kelab ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Tuanku atas kurniaan sebanyak RM50 juta kepada kelab bolasepak JDT. Ini adalah daripada kesedaran bahawa projek bolasepak Johor ini adalah satu projek jangka panjang yang juga menjadi faktor menyatupadukan Bangsa Johor. Sungguhpun dengan rezeki yang ada, kelab juga perlu berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat, demi menjamin masa depan kelab dalam jangka masa panjang, memandangkan kita tidak sekaya sesetengah kelab yang ditaja oleh hartawan di negara ini. Keutamaan kita sekarang adalah pada pembangunan infrastruktur dan bakat-bakat muda, serta simpanan kewangan untuk masa akan datang. Kita perlu belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan oleh sesetengah pesaing kita, kerana orang yang bijak belajar daripada kesilapan orang lain. Kita telahpun mencipta sejarah, sekarang terpulang kepada kita untuk berusaha meneruskan kecemerlangan. Apa yang kita telah capai sehingga hari ini hanyalah permulaan, dan perjalanan kita masih jauh.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada semua penyokong bahawa JDT kini dalam proses rundingan bersama Frenz United, dengan kemungkinan JDT mempunyai pegangan pemilikan sebanyak 50% dalam kelab tersebut. Dengan itu, Friends United akan menjadi sebahagian platform untuk pembangunan dan menyalurkan bakat-bakat muda kepada JDT. Namun begitu, kita hendaklah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh demi kemajuan kelab, sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan, serta sentiasa merendah diri.
DYAM BRIGADIER JENERAL TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM, TUNKU MAHKOTA JOHOR.
No comments:
Post a Comment