Thursday, January 7, 2016

Shahrul Saad: Syamsul mampu menjadi pemimpin yang berjaya





Selepas membantu Felda United menduduki tempat kelima Liga Super 2015 dan ke Separuh Akhir TM Piala Malaysia 2015, Shahrul Saad bakal kembali menyarungkan jersi pasukan The Bos Gaurus.

Shahrul yang memulakan karier bolasepaknya bersama Perak pada tahun 2009-2010 berkata: “Saya berbesar hati dan berbangga kerana dapat kembali menabur bakti kepada pasukan negeri kelahiran saya.”

Bakal beraksi di bawah kendalian abangnya sendiri, Syamsul Saad, Shahrul menjangkakan ia satu cabaran yang baru buatnya namun yakin abangnya mampu menggalas tugas sebagai ketua jurulatih dengan baik.

“Semestinya saya sedikit bimbang beraksi di bawah kendalian abang saya sendiri nanti kerana saya sebagai adik kepada jurulatih pasti perlu berhadapan dengan persepsi orang ramai. Tetapi Syamsul seorang yang berwibawa dan mampu untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya dengan pengalaman-pengalaman yang dimilikinya.

“Saya berharap, di bawah kendalian Syamsul, Perak mampu mencipta kelainan dalam saingan Liga Super nanti,” jelas Shahrul yang merupakan anak bongsu dari 6 orang adik beradik.

Sebelum bersama Felda United, Shahrul juga pernah bersama Harimau Muda B pada tahun 2011 dan seterusnya bersama Harimau Muda A dari tahun 2012 hingga 2014.

Pemain berusia 22 tahun yang membuat penampilan sebanyak 28 kali untuk Felda pada tahun 2015 itu percaya pengalaman yang ditimba semasa di Felda United telah lebih mematangkannya sebagai seorang pemain bolasepak.

“Pelbagai pengalaman baru yang saya belajar di Felda. Contohnya, saya sudah biasa bermain di bahagian pertahanan tetapi di Felda saya juga bermain sebagai Defensive Midfielder. Dari situ saya belajar untuk bermain dalam dua posisi.

“Pemain-pemain yang lebih senior di Felda juga banyak membantu saya menyesuaikan diri dan bermain dengan baik di posisi baru saya. Saya sangat berterima kasih kepada Felda United terutamanya, jurulatih Irfan Bakti kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk membuktikan kebolehan dan kelebihan yang ada pada diri saya. Saya sentiasa akan mengenang jasa mereka,” jelas Shahrul lagi.

No comments:

Post a Comment

Connect With Us