Wednesday, January 6, 2016

Tidak terburu-buru cari pemain import keempat





PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak terburu-buru mencari pemain import keempat bagi memantapkan pasukan itu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, sebaliknya berkata persatuan akan menguji sekurang-kurangnya empat lagi pemain import sebelum membuat keputusan muktamad menyenaraikan pemain berkenaan.

"Kita tidak boleh gopoh dalam mengambil pemain import keempat bagi mengelak masalah seperti sebelum ini. Lagi pun kita mempunyai masa yang cukup membuat pemilihan kerana tarikh akhir pendaftaran pada 12 Februari," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam tempoh sebulan akan datang, pihaknya akan menguji pemain dari Nigeria, Mali dan Brazil malah ujian tersebut bukan sahaja dari sudut prestasi tetapi juga kesihatan mereka.

Katanya pemain import tahun lepas yang dikekalkan Terengganu tahun ini, ialah Vincent Bikana dari Cameroon, Gustavo Lopez (Argentina) dan Issey Nakajima Farran (Kanada).

Beliau berkata dalam pencarian pemain import untuk melengkapkan kuota empat pemain import musim ini, pihaknya telah menguji 10 pemain daripada pelbagai negara tetapi kesemua mereka tidak menepati kehendak persatuan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata PBSNT telah menawarkan bekas pemain Inter Milan, Victor Obinna, 28, dari Nigeria untuk beraksi dengan Terengganu dibawah bimbingan Ahmad Yusof, musim ini.

"Namun, belum ada perkembangan positif mengenai perkara itu sehingga kini," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Connect With Us