KUALA LUMPUR, 5 Januari 2015:
Yakin bahawa usahanya akan memberi impak yang besar terhadap pasukan bola sepak negeri Kelantan, The Red Warrior (TRW), Datuk Seri Hasmiza Othman melihat pasukan itu akan lebih hebat daripada Johor Darul Takzim (JDT) di bawah kelolaan Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim.
Pengasas produk kecantikan Pamoga dan Qu Puteh yang lebih mesra dikenali sebagai Datuk Vida itu berkata, visinya bersama TRW adalah untuk mengharumkan lagi nama pasukan bola sepak itu dan membawanya ke peringkat lebih tinggi iaitu ke peringkat Asia.
“Saya rasa kita mampu untuk pergi lebih hebat dari itu..saya tidak gentar pada lawan, sebab ada ramai yang menyokong kita. Saya akan membawa kelainan dalam liga bola sepak tahun 2016 ini.
“Saya nak bawa pasukan Kelantan ini ke peringkat Asia,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
JDT pada Oktober 2015 telah mencipta sejarah menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC.
Lain pula dengan kedudukan TRW yang mana Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berhadapan dengan krisis kewangan.
Namun krisis itu kini dilihat mempunyai sinar baru apabila individu yang terkenal dengan tag line ‘barulah putih’ itu menyatakan kesediaan untuk menaja kumpulan bola sepak berkenaan.
Menurut Datuk Vida, apa yang ditunggu kini ialah pinangan daripada pihak KAFA setelah beberapa syarat dikemukakan kepada mereka sebelum bersetuju untuk ditaja beliau.
“Sekarang ini kita tunggu pinangan KAFA. Saya mahu melihat sukan bola sepak ini lebih meriah, bersemangat dan menjadi sukan keluarga. Saya nak bawa kelainan untuk peminat-peminat bola sepak wanita.
“Syarat lain selain stadium berwarna merah jambu akan kita dedahkan kemudian,” katanya.
Ketika ditanya apakah yang membuatkan beliau berminat untuk menaja kumpulan bola sepak ini, jawabnya “saya sendiri peminat sukan bola sepak.”
Susulan daripada itu, beberapa pembaharuan bakal dijalankan pihak beliau termasuk membekalkan minuman tenaga kepada pemain-pemain TRW yang antara anggotanya ialah penjaga gol terkenal, Khairul Fahmi Che Mat ataupun lebih popular dengan gelaran Apek.
“Saya boleh katakan saya akan bekerja untuk akar umbi, saya akan umumkan pembaharuan pada hujung Januari nanti. Saya buat ini untuk menjana ekonomi dan menaikkan ekonomi rakyat.
“Saya nak buat produk yang mendapat pasaran di luar negara, oleh sebab itu, saya nak tarik pelabur untuk melabur di dalam negara kita, dengan jenama saya..saya nak sampai begitu,” ujarnya.
Sebelum ini, arena sukan bola sepak negara gempar dengan kesudian Datuk Vida untuk menaja pasukan TRW, namun bukanlah kesudiannya yang menjadi kekecohan, sebaliknya syarat yang ditetapkan usahawan berjaya itu.
Vida menetapkan dua syarat iaitu; Stadium Sultan Muhammad IV perlu dicat semula dengan warna merah jambu dan pasukan Kelantan perlu dinamakan semula sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW) seperti pasukan Negeri Sembilan yang telah dijenamakan semula sebagai NS Matrix.
Syarat-syarat berkenaan mengundang pelbagai reaksi dari rakyat yang rata-ratanya terkejut dengan penetapan demikian.
http://bm.therakyatpost.com
No comments:
Post a Comment