PENAJA Utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman . - Foto Zulfadli Zulkifli
KOTA BHARU: Penaja Utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman tetap dengan pendirian mahu Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) memakai jersi yang dikeluarkan syarikatnya, bukan daripada syarikat barangan sukan, Nike.
Hasmiza atau lebih dikenali dengan Dr Vida, berkata ini kerana syarikatnya sudah menyediakan tiga jersi baharu untuk disediakan kepada pemain Kelantan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. "Saya sudah menyediakan tiga jersi dengan kualiti kain tertentu, cuma lakaran dalam proses untuk disiapkan.
Saya sudah sediakan semua itu, sebaliknya perkara seperti ini pula berlaku. "Saya mahu semua jersi Kelantan dikeluarkan oleh syarikat saya sendiri. Saya sudah sediakan jersi untuk perlawanan di laman sendiri berwarna putih dan merah jambu, tempat lawan (merah jambu dan hitam) dan jersi ketiga (merah dan putih).
"Apa yang saya lakukan ini, saya sendiri sudah mengeluarkan peruntukan berjumlah RM4 juta kepada Airtime Management Programming (AMP) bagi kempen promosi skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) baru-baru ini," katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Dr Vida kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang mengumumkan jersi rasmi PQPTRW kekal dengan warna tradisi iaitu merah dan putih sepanjang saingan Liga M musim ini.
Menerusi laman Facebook milik Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, beliau dilaporkan berkata jersi jenama Nike akan dilancarkan pada 10 Februari ini manakala jersi kedua berwarna merah jambu yang akan ditetapkan Dr Vida sendiri.
Berikutan itu, Dr Vida mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan tertinggi KAFA bagi membincangkan perkara itu bersama peguamnya pada Ahad lalu. Mengulas lanjut, jutawan kosmetik itu menyifatkan tindakan Annuar tidak adil apabila warna merah jambu sekadar digunakan untuk jersi ketiga sedangkan beliau sudah menghabiskan banyak dana untuk melakukan promosi pasukan PQPTRW.
Tidak adil bagi saya kerana sudah mengeluarkan banyak dana untuk melakukan promosi, tapi pihak lain pula yang mendapat promosi percuma disebabkan hanya menaja jersi Kelantan. "Saya akan terus berjuang habis-habisan bagi memastikan jersi utama PQPTRW berwarna merah jambu.
Saya tak peduli, yang penting mereka (KAFA) perlu selesaikan warna jersi ini dan saya kena dapatkan hak sebagai penaja utama," katanya. Difahamkan Kelantan masih mempunyai kontrak selama setahun lagi dengan Nike yang juga penaja peralatan dan jersi rasmi skuad berkenaan sejak 2014.
Ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan beliau seorang yang 'demanding', Dr Vida berkata beliau mempunyai perancangan jangka panjang untuk melakukan penjenamaan semula kepada PQPTRW, bukan tanpa mempunyai sasaran tertentu. "Saya tidak mahu apa yang dilakukan ini menjadi sia-sia apabila pada awalnya sudah mempunyai masalah.
Oleh itu, jika saya sudah membuat keputusan untuk menaja Kelantan, saya akan usahakan habis-habisan," katanya.
Sumber : BHarian Online
No comments:
Post a Comment