Isu Jersi Selesai - TAN SRI ANNUAR MUSA
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menganggap isu jersi skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini selesai.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, hasil perbincangan antara Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau dikenali Dr Vida dengan HORC, syarikat yang menaja pakaian sukan berjenama Nike untuk Kelantan, kelmarin memutuskan pengasas Vida Beauty itu mendapat hak penajaan jersi.
“Pada dasarnya kita bersetuju HORC menaja jersi kita tapi apabila Dr Vida tampil untuk menaja pasukan, berlaku percanggahan dalam syarat.
“Saya minta Dr Vida berunding dengan HORC mengenai perkara ini, hasil rundingan itu semalam menyaksikan Dr Vida diberikan hak itu,” katanya selepas Program Pelancaran Bot Penyelamat Khadam 01 di Tok Bali, di sini, semalam.
Katanya, isu jersi itu tidak menjejaskan pelancaran jersi PQPTRW yang akan diadakan pada 11 Februari nanti.
“Kita setuju warna jersi pink dan merah untuk home manakala untuk away, kita gunakan jersi warna pink, putih dan hitam.
“Kalau kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan, kita menerima sahaja, tidak ada ganjilnya dengan jersi pink kerana kelab ternama dunia Real Madrid pun menggunakan warna itu,” katanya.
Annuar berkata, beliau kagum dengan kreativiti Dr Vida yang menyuntik semangat baharu kepada Kelantan untuk musim ini.
Menurutnya, beliau dapat merasakan Kelantan yang kini mula menurun selepas mencapai kemuncak prestasinya dalam tempoh tujuh tahun dibina perlu mendapat suntikan semangat baharu.
“Saya terbuka dalam hal ini, saya suka cara Dr Vida dan mahu melihat suasana baharu bola sepak Kelantan,” katanya.
Mengulas import terbaharu PQP TRW, Annuar berkata, beliau yakin dengan pemain dari Mecedonia, Blazhe Ilijoski yang melengkapkan senarai pasukan.
“Dia merupakan current player, bukan pemain yang tercari-cari arah, kita percaya dia mampu menguatkan pasukan Kelantan,” katanya.
Katanya, sistem fleksibel diperkenalkan di mana pemain memberi jaminan bermain dengan cemerlang untuk pasukan musim ini.
Menurutnya, dalam tempoh enam bulan pertama pemain yang gagal beraksi dengan baik diberikan notis dan seterusnya dibayar dua bulan gaji dan ditamatkan kontrak.
No comments:
Post a Comment