
Walaupun memilih pasukan yang beraksi di Liga Perdana, syarikat pengeluar produk kecantikan Megah Perawan Sdn Bhd (Megah Perawan) bersedia melaburkan jutaan ringgit untuk menaja pasukan bola sepak PKNS FC.
Pengarah Urusannya, Zack Aziry, bagaimanapun berkata pihaknya belum membuat keputusan akhir kerana hari ini mereka baru mengadakan perbincangan awal berhubung perkara itu.
"Pertemuan ini adalah sesi perkenalan dan kita belum membuat sebarang keputusan muktamad.
"Insya-Allah, kami akan meneliti syarat yang dikemukakan PKNS FC," katanya.
Zack selanjutnya menambah: "Kami juga tidak akan meletakkan syarat yang pelik-pelik kepada mereka."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil pengurusan PKNS FC di Sungai Buloh, Selangor hari ini.
PKNS FC diwakili presidennya, Siti Zubaidah Abd Jabar.
Jika kedua-dua pihak mencapai persetujuan, Megah Perawan bakal mengikuti jejak Vida Beauty Sdn Bhd menaja pasukan bola sepak tempatan.
Vida Beauty adalah pengeluar barangan kosmetik Qu Puteh dan Pamoga. Syarikat itu bakal menaja pasukan Kelantan yang bersaing dalam Liga Super.
Zack berkata, sebagai syarikat yang belum berpengalaman dalam program sukan, pihaknya memerlukan waktu meneliti dan memahami konsep penajaan.
"Sebenarnya dah lama saya berminat untuk taja (program) sukan. Saya nampak bola sepak lebih berpontensi dan menonjol. Jadi kita pilih untuk membantu pasukan yang bermain di Liga Perdana.
"Walaupun PKNS FC sekarang di Liga Perdana, kita akan sama-sama naikkan pasukan ini untuk ke peringkat lebih tinggi iaitu ke Liga Super pada masa depan," katanya yang masih merahsiakan nilai tajaan tersebut.
Bagaimanapun, Zack mengakui tajaan yang bakal dilakukan itu adalah satu jumlah besar berbanding tajaan dalam program lain sebelum ini.
"Walaupun prestasi PKNS FC kadang-kadang kurang konsisten, Megah Perawan melihat ada potensi besar pada skuad itu," katanya.
Pada musim lalu, PKNS FC yang diletakkan di bawah kendalian E Elavarasan mencatatkan rekod menarik kerana berjaya ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.
Langkah mereka tersekat di peringkat itu selepas dikalahkan Kedah dengan agregat 2-4.
Sementara itu, Siti Zubaidah berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak boleh mewujudkan situasi menang-menang.
"Kami mengalu-akukan tajaan daripada Megah Perawan dan syarat-syarat kami adalah fleksibel. Jika perkara ini menjadi kenyataan ia akan menjadi suntikan bersemangat untuk kedua-dua pihak.
"Ini kerana, kita di PKNS FC sendiri mempunyai sembilan pasukan daripada pelbagai peringkat akar umbi selain pasukan utama. Tajaan ini pastinya membantu kita untuk membangunkan bola sepak," katanya.
No comments:
Post a Comment