KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua minggu idea mengenainya tercetus, hasrat pengeluar produk kosmetik terkenal Qu Puteh, Dr Vida untuk menaja pasukan Kelantan musim ini, bakal tercapai hari ini. Dr Vida atau nama sebenarnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bakal memeterai perjanjian penajaan itu dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, di sini, jam 3 petang. KAFA dijangka diwakili presidennya yang juga Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa. Persetujuan bagi penajaan itu dicapai oleh kedua-dua pihak dalam satu perbincangan di ibu negara hujung minggu lalu. Laporan media sebelum ini menyatakan Dr Vida menerusi syarikatnya, Vida Beauty Sdn Bhd bakal menaja sebanyak RM20 juta selama dua musim termasuk RM8 juta semusim khusus untuk pengurusan skuad The Red Warriors (TRW). Selain itu, Dr Vida turut meletakkan 35 syarat kepada KAFA. Dalam pada itu, Annuar dalam akaun Facebook miliknya turut menjemput semua peminat untuk hadir ke majlis itu nanti yang bakal dihadiri pemain utama skuad TRW. "Apakah warna baju Qu Puteh esok (hari ini)? Apakah Qu Puteh memakai mahkota? Apakah Qu Puteh ada kejutan lagi?" kata Annuar yang masih merahsiakan tentang skuad itu.
Sumber - Berita Harian
No comments:
Post a Comment