Tuesday, February 9, 2016

Kedah bakal singkir Seung Hwan?

ALOR SETAR – Kedah bukan sahaja berdepan dengan masalah penajaan dalam musim pertamanya dalam Liga Super, tetapi turut diselubungi isu mengenai pemain pertahanan dari Korea Selatan, Bang Seung Hwan.

Segalanya bermula setelah kelibat bekas pemain pertahanan Daejeon Citizen musim lalu Alvaro Silva Linares dilihat berada di sebuah lobi hotel terkemuka di sini sejak beberapa hari lalu sehingga menimbulkan spekulasi pemain itu akan mengambil posisi Seung Hwan.

Menurut sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Alvaro sudah semakin pasti untuk menandatangani kontrak bersama Lang Merah apatah lagi dia sudah pun dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di salah sebuah hospital swasta di sini semalam.

“Maka timbul persoalan, apa nasib Seung Hwan selepas ini sedangkan dia sudah pun menandatangani kontrak bersama Kedah Disember lalu. Kalau benar dia dibuang, berapa jumlah pampasan yang perlu dibayar kepadanya?

“Saya hairan mengapa perkara ini berlaku sedangkan Seung Hwan dilihat sebagai tonggak pasukan dan penyokong juga senang dengan aksinya. Lebih membimbangkan rekod Alvaro beberapa musim kebelakangan ini tampak kurang memberangsangkan termasuk beraksi tidak lebih tujuh kali pada musim lalu bersama Daejeon Citizen,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Walaupun dilahirkan di Sepanyol, Alvaro tidak berdepan masalah untuk menggantikan Seung Hwan bagi memenuhi kuota pemain Asia kerana dia mempunyai kerakyatan Filipina yang diperolehinya pada 2014 untuk membolehkannya beraksi bersama pasukan kebangsaan negara jiran itu.

Begitu pun melalui semakan di internet, pemain dengan ke­tinggian 1.87 meter dan berusia 32 tahun itu hanya beraksi sebanyak tiga kali bersama pasukan kebangsaan Filipina setakat ini.

Sumber itu menambah, kemampuan sebenar Alvaro juga tidak diketahui sepenuhnya apabila aksinya hanya diuji melalui perlawanan persahabatan sesama sendiri yang dijalankan pihak kejurulatihan Lang Merah pada Sabtu lalu.
“Selebihnya penilaian hanya dibuat menerusi perbincangan bersama salah seorang ejen bola sepak tempatan yang membawa masuk Alvaro ke sini.

“Di pihak Seung Hwan, dia sudah boleh mengagak dirinya akan digugurkan tetapi mereka yang berada dalam KFA sama ada di pihak pengurusan atau kejurulatihan masing-masing seolah mahu lepas tangan mengenai siapa yang sepatutnya akan memberitahu Seung Hwan mengenai perkara ini,” ujarnya.

Katanya lagi, nama Seung Hwan masih lagi diletakkan dalam senarai pemain yang akan beraksi dalam perlawanan pertama menentang Felda United di tempat lawan 13 Februari depan.

“Namun itu mungkin menjadi aksi terakhir Seung Hwan bersama Kedah kerana Alvaro dijangka menandatangani kontrak dalam masa terdekat,” ujarnya.

-UTUSAN MALAYSIA-

No comments:

Post a Comment

Connect With Us