Showing posts with label TMJ. Show all posts
Showing posts with label TMJ. Show all posts

Thursday, January 28, 2016

INTISARI SESI WAWANCARA DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR BERSAMA MEDIA DAN PENYOKONG | 27HB JANUARI 2016

1. Berkenaan pemberian tanah sebanyak 70 ekar dari kerajaan negeri, saya akan gunakan 35 ekar tanah untuk pembinaan stadium baru di Nusajaya dan selebihnya untuk projek Bandar Sukan JDT yang merangkumi hotel, apartment, pusat membeli-belah, padang ragbi, tenis, futsal dan lain-lain jenis sukan. Kita nak jadikan JDT lain daripada yang lain.
-------
2. Anggaran kos pembinaan stadium baru adalah lebih kurang RM180-200 juta. Ibu pejabat JDT, tempat letak kenderaan dan apa jua perkara atau masalah yang kita hadapi di stadium sekarang, telah dikaji dengan mendalam dan kita akan pastikan masalah tersebut diatasi. Sehingga kini perancangan telah berjalan dengan baik.
-------
3. Forest City merupakan penaja terbesar kita dan juga merupakan antara syarikat yang akan membinakan stadium baru tersebut.
-------
4. Nama stadium baru adalah Stadium Sultan Ibrahim Larkin, saya simpan nama Larkin kerana saya sayang nama tersebut. Apabila stadium berkenaan sudah siap, JDT II akan bermain di Stadium Larkin (sekarang ini), manakala JDT III dan IV akan berada di Pasir Gudang, dan kita akan menggunakan stadium baru itu untuk pasukan utama.
------
5. Saya juga ada perjanjian dengan Valencia, dan Valencia juga turut membantu membina stadium kita yang akan memulakan proses pembinaannya tidak lama lagi.
-----
6. Saya belum membuat senarai akhir pemain kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim meskipun pasukan lain kebanyakannya telah mengeluarkan senarai akhir nama pemain mereka. Mungkin akan ada beberapa perubahan sedikit, tunggulah dalam dua atau tiga minggu lagi (untuk pengumuman nama-nama pemain JDT).
-----
7. Berkenaan perlawanan pra-musim, saya sememangnya tidak berpuas hati tetapi saya sedar pra-musim kebiasaanya begitu kerana ianya lebih kepada menguji kecergasan pemain dan koordinasi pemain. Saya juga faham pemain kepenatan dan ada sesetengah perkara yang saya telah perbincangkan bersama Mario Gomez dan pasukan teknikal semalam, iaitu ada beberapa perubahan yang akan kami buat. Semua pemain belum selamat.
-----
8. Semua berjalan dengan lancar seperti yang dirancang, program pembangunan juga berjalan dengan lancar, restoran juga berjalan dengan lancar. Restoran JDT akan dibuka pada akhir Februari.
-----
9. Mengenai cabaran Liga Juara-Juara Asia (ACL), saya suka bercakap berkenaan perkara-perkara berdasarkan fakta yang sangat realistik. Kita belum sampai di sana lagi. Sekiranya kita dapat layak ke ACL, Alhamdulillah. Sekiranya tidak berpeluang, saya tidak kisah kerana secara realitinya, kita belum berada di sana pun.
------
10. Untuk menjulang Piala ACL, pada saya perjalanan masih panjang dan ianya akan memakan masa, tetapi tidak mustahil.
------
11. JDT adalah sebuah kelab yang masih baru. Kita baru sahaja memulakan projek bolasepak kita bermula tahun 2013, dan kita perlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk menjuarai liga Asia tetapi memang tidak disangka apabila kita berjaya menjulang Piala AFC pada tahun 2015.
------
12. Mengenai JDT II, tumpuan memang diberikan kepada pemain-pemain tempatan, sekiranya kita hanya mengharapkan pemain import sahaja, kita akan tidak fokus terhadap pembangunan pemain-pemain muda. Jadinya, saya mahukan lebih pendedahan diberikan kepada pemain-pemain muda kita untuk lebih bersikap tanggungjawab. Tetapi sekiranya jurulatih memerlukan satu lagi pemain import, saya tetap akan menerima idea tersebut.
------
13. Jika Mario mahukan Rozaimi diserap masuk ke dalam pasukan utama, maka dia akan bermain di JDT. Jika tidak mahu, maka beliau akan diserapkan ke pasukan nombor dua. Apa yang lebih penting adalah saya nak beliau kembali cergas dan kita akan bantu dia untuk proses pemulihan sepenuhnya.
------
14. Semua orang yang minat bola sepak pasti sedar Rozaimi adalah pemain yang sangat berbakat, muda tetapi mengalami masalah kecederaan. Saya lihat dia mempunyai potensi untuk pergi jauh cuma kita perlu berikan lebih perhatian kepada beliau.
------
15. Lihat Safee Sali, kerjaya dia berakhir di Indonesia. Enam bulan tidak bermain dan kita bawa dia bermain di sini. Ramai orang tertanya-tanya tetapi kini beliau adalah salah seorang pemain yang membantu pasukan menjuarai Piala AFC.
-----
16. Pada saya, semua pemain yang berada dalam pasukan utama memainkan peranan penting pada pencapaian kita.
------
17. Ramai pemain yang diambil oleh JDT sebelum ini, orang pertikaikan dan kemudiannya kita lihat pemain tersebut mempunyai karakter yang berbeza di JDT. Kita bukan sekadar fokuskan kepada sumbangan pemain di dalam padang tetapi juga karakter sebagai pemain yang profesional dan itu adalah cabaran terbesar kami kerana di Malaysia tidak ada akademi bolasepak yang betul-betul memberi tunjuk ajar perkara ini dari mula.
------
18. Undang-undang FAM adalah undang-undang yang paling teruk sekali. Kalau awak tidak membentuk pemain, tidak keluarkan dana kepada pembangunan pemain tersebut, bagaimana pemain itu dikatakan milik awak?
------
19. Pada saya, pemain Harimau Muda sepatutnya bebas hendak pergi ke mana-mana pasukan yang mereka mahu pergi. Kamu tidak boleh memaksa pemain bermain di tempat yang mereka tidak mahu. Mereka adalah pemain bola sepak profesional.
-------
20. Kita kononnya mahu mengajar pemain bolasepak bahawa mereka perlu menjadi profesional. Tetapi pihak pengurusan sendiri tidak profesional. Takkan boleh duduk diam selama ini dan tunggu pemain dibentuk oleh FAM atau mana-mana kelab, tetapi bila pemain ini sudah berkembang, kita anggap itu pemain kita. Bagi saya itu sistem yang tidak masuk akal.
-------
21. Di Johor kita tidak boleh cepat berpuashati dengan sebarang pencapaian. Ideanya adalah sentiasa melakukan peningkatan. Peningkatan organisasi, peningkatan pasukan, peningkatan setiap pemain dan setiap orang perlukan peningkatan. Saya yang menjalankan tugas pun perlu peningkatan. Saya sememangnya tidak pernah berasa selesa atau puas hati terhadap apa jua pencapaian.
------
22. Mengenai akademi bolasepak JDT, akademi tersebut akan ada pasukan teknikalnya yang sendiri. Dan kita akan gerakkan akademi menggunakan pasukan teknikal tersebut.
------
23. Senarai pemain akan di senarai akhir sebelum 14hb Februari ini dan buat masa ini tiada pemain yang selamat. 27 pemain, belum tentu siapa yang selamat. Di JDT bukan tempat untuk mereka yang selesa, JDT adalah kelab untuk orang yang mahu bekerja keras. Tidak kisah senior atau junior, sesiapa sahaja boleh dikeluarkan dari pasukan. Tiada orang lebih besar daripada kelab.
------
24. Stadium MPPG akan digunakan oleh pasukan belia JDT dan apabila mini stadium di akademi nanti siap dibina, pasukan belia akan bermain di sana.
-------
25. Untuk projek pembangunan, kita telah aturkan beberapa pertandingan yang kompetitif dari semua peringkat umur dan daerah-daerah Johor sebelum ini. Dan kita telah memilih beberapa pemain yang telah diletakkan di Medini sementara menunggu akademi siap sepenuhnya. Mereka dari kalangan umur 8, 12, 15 dan 17 tahun perlukan masa untuk berkembang bagi jangka masa panjang.
-------
26.Kita mempunyai laman rasmi yang dilawati oleh semua negeri dan negara luar. Mengikut dari statistik dari laman facebook dan laman web, kita ada lebih 100 lebih negara yang mengikuti laman rasmi kita dan saya agak terkejut apabila United State of America (USA) adalah negara kedua tertinggi yang mengikuti laman rasmi kita.
-------
27.Ini adalah antara sebab mengapa kita mewujudkan Yayasan Penyokong JDT bagi penyokong yang mahukan info lebih tepat bagaimana mahu menjadi sebahagian dari kelab bolasepak JDT dan mengetahui perkembangan kelab bolasepak JDT.
-------
28.Saya agak terkilan melihat perlawanan persahabatan semalam tidak penuh walaupun percuma kerana ada mentaliti penyokong yang memilih perlawanan untuk menyokong. Saya mahu penyokong Johor mempunyai identiti sendiri dengan tidak memilih perlawanan. Kelab telah mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk menjadikan JDT sebagai satu jenama.
-------
29. Di negeri lain hanya pihak pengurusan sahaja yang memainkan peranan. Tetapi di Johor ia sesuatu yang unik apabila penyokong-penyokong turut bersama memainkan peranan dalam menaikkan nama Johor Darul Ta'zim dengan wujudnya Yayasan Penyokong JDT.
-------
30. Ini juga terjadi di negara lain seperti Japan dan Korea di mana penyokong lebih menonjol dalam menaikkan nama kelab. Ini hanya pandangan saya dan ia terpulang pada penyokong sendiri.
-------
31. Andai pengedar rasmi telah melanggar perjanjian persetujuan untuk menjual barangan rasmi Southern Tigers, ia akan terbatal dengan serta merta dan tindakan akan diambil.
-------
32. Sekali lagi saya katakan jangan merompak kelab kita dengan mengambil untung tanpa membayar royalti kepada kelab. Jika ini tidak dipandang serius tidak mustahil satu hari nanti kelab ini akan bankrap.
-------
33. Polisi kita adalah sentiasa bersedia 10 langkah kehadapan daripada pesaing kita. Jangan ada unsur-unsur memikirkan kepentingan diri sendiri sahaja. Kita harus berubah jika mahukan kelab ini berjaya.
-------
34. Kewujudan JDT Sport City nanti bakal membuka peluang perniagaan kepada peniaga yang mahu menjual barangan tempatan tetapi dengan syarat harus membayar royalti kepada kelab kerana JDT adalah satu jenama ketika ini. Dan ini adalah salah satu cara kita menyumbang kepada kelab.
-------
35. Harga tiket masih kekal seperti musim lepas untuk musim 2016 dan di stadium baru, Iskandar Puteri juga.
-------
36. Nizam Rahman masih jauh lagi untuk mencapai tahap yang ditentukan oleh jurulatih. Sama seperti juga Shafiq Shaharudin. Kita bukan sahaja mencari pemain yang boleh menjaringkan gol tetapi juga mengetahui sikap di dalam dan luar padang mereka.
-------
37. Jurulatih seperti Mario Gomez bukan hanya memilih pemain mengikut profil mereka tetapi lebih tertumpu dengan pemain yang berkerja keras semasa dalam latihan.
-------
38. Di JDT pemain harus berkerja keras ketika latihan untuk kesebelasan utama kerana tiada sikap pilih kasih bagi jurulatih import berbanding jurulatih tempatan yang lebih tertumpu kepada pemain kegemaran mereka.
-------
39. Saya masih dalam perancangan dengan Frenz United untuk berkerjasama dengan mereka. Saya mempunyai dua pilihan iaitu antara memiliki 50% pemilikan Frenz United dan mereka menggunakan sesetengah fasiliti dan kemudahan di JDT atau saya membeli sesiapa sahaja pemain yang saya mahukan di sana nanti. Saya lebih selesa dengan pilihan kedua. Ini adalah antara hubungan kerja yang sedang dalam perbincangan.
-------
40. Kita mempunyai tujuh pemain Frenz United untuk pasukan muda kita yang dihantar oleh ibubapa mereka untuk mencuba sesi pemilihan yang telah dilakukan sebelum ini.
-------
41. Sejak kita berkerjasama dengan Borussia Dortmund dan mempunyai kemudahan teknologi tinggi, kita tidak perlukan lagi ujian kecergasan seperti ‘cooper test’ untuk menilai stamina seseorang pemain muda.
-------
42. Kami telah merancang beberapa perkara mengenai masalah penjualan tiket yang lebih sistematik dan antaranya melalui Yayasan Kelab Penyokong JDT yang akan memperuntukkan untuk setiap daerah yang telah menjadi ahli Yayasan.
-------
43. Saya juga telah beberapa kali mencadangkan kepada FAM untuk menyediakan tiket seawal mungkin bagi memudahkan kita mengedarkannya kepada penyokong. Tetapi hingga sekarang kita masih lagi menerima tiket sehari awal sebelum perlawanan.
-------
44. Kita juga sedang menilai cara penggunaan gelang besi dan kerusi bernombor bagi menghalang daripada individu berebut tempat duduk.
-------
45. King Talib FC dihentikan sementara kerana Real Mulia FC sudah tiada lagi kerana kewujudan King Talib FC adalah untuk memberi saingan sengit kepada Real Mulia FC.
-------
46. Alistair Edwards memainkan peranan yang sama ketika di Eropah dulu sebagai Pengarah Sukan yang memantau program akar umbi, peralatan latihan, tempat tinggal dan sistem latihan untuk semua pasukan. Beliau akan berbincang dengan jurulatih mengenai peralatan yang tidak mencukupi bagi pemain atau perubahan bentuk latihan. Beliau juga akan memberi laporan mengenai tahap pencapaian jurulatih dan perkembangan pasukan.
-------
47. Kita perlu utamakan kelab kita. Prestasi kelab terbaik adalah satu bonus pada saya. Apa yang penting adalah penyokong dan kelab harus berkerjasama untuk menaikkan imej kelab. Jika kita mempunyai penyokong yang hebat, suasana stadium yang terbaik, pengurusan yang professional dan cara kehidupan di Johor yang baik dapat menarik minat pemain import yang berkualiti.
-------
48. Tiada pemain yang tidak mahu bermain dengan kelab bolasepak JDT. Ini disebabkan suasana sekeliling mereka di dalam dan luar padang. Pemain JDT sanggup menghabiskan karier mereka di Johor berbanding daripada berhijrah ke kelab lain kerana tiada kelab yang sama profesional seperti kelab bolasepak JDT.
-------
49. Cara kehidupan yang baik di Johor juga menjadi sebab utama mengapa pemain sanggup bermain untuk JDT. Singapura terletak disebelah Johor dan Mersing serta pulau-pulau berdekatan hanya satu jam sahaja dari Johor Bahru membuatkan JDT adalah tempat yang terbaik buat pemain.
-------
50. Kelab Bolasepak JDT 100% diuruskan sepenuhnya oleh kelab. PBNJ bertanggungjawab mengurus dan memantau program dan pertandingan-pertandingan seperti Piala Menteri Besar, Piala DYMM Sultan Johor, Piala DYAM Tunku Mahkota Johor. Selain dari itu termasuklah pengurusan stadium diuruskan oleh kelab.
-------
51. Kita telah menswastakan pasukan JDT sejak dari tahun 2013, dan saya masih menjadi Penaung Diraja PBNJ dan memantau PBNJ.
-----
52. Saya menjadi pemilik kelab JDT dan memegang saham majoriti kerana saya tidak mahu orang lain yang memiliki JDT, saya mahu JDT menjadi milik rakyat Johor.
-----
53. Mereka baru nak swastakan liga mereka pada tahun ini, jadi atau tidak itu saya tidak pasti. Tetapi kita sudah lakukan sejak awal musim 2013 lagi.
------
54. Sebagai pemilik, saya dapat 'MORE CONTROL'. Saya nak 'GET MORE INVOLVES' dengan 'HANDS ON' dengan kelab tersebut.
------
55. Pada saya semua orang ada pendapat masing-masing. Tetapi tidak ada orang tahu apa yang sedang berlaku di dalam kelab. Bandar sukan adalah merupakan sumber pendapatan kita dan sumber kewangan untuk kelab. Kita ada tanah kelapa sawit, dan ia adalah untuk kita punya pendapatan. Termasuk beberapa pemaju yang menyumbang sebagai penaja, ianya juga adalah antara pendapatan kelab. Fokus kita adalah pendapatan kepada kelab.
------
56. Hanya kita satu-satunya pasukan yang mempunyai akademi sendiri, program sendiri, stadium sendiri, serta tempat latihan sendiri. Semuanya di bawah penyelenggaraan kita.
------
57. Perbezaan JDT dengan pasukan-pasukan lain adalah jika awak bagi saya RM50 juta, saya akan menaiktaraf fasiliti di sini. Jika awak beri mereka RM50 juta, mereka akan beli dua pemain tempatan dan menjanjikan piala kepada penyokong. Itulah beza mereka dengan kita.
------
58. Saya suka banyakkan program seperti ini (pertemuan bersama penyokong). Saya rasa negeri-negeri lain tidak ada program bersama penyokong seperti ini.
------
59. Saya sangat telus, anda boleh bertanya kepada saya duit datang daripada mana, duit berada di dalam akaun mana, apa yang telah digunakan sekarang, semua boleh tanya, saya tidak ada apa-apa untuk sembunyikan.
------
60. Kerana saya lebih kepada semuanya untuk jangka masa panjang, untuk memberi legasi. sebuah empayar bola sepak yang Asia Tenggara akan kenal.
------
61. Ada pihak dari FourFourTwo datang untuk jadikan JDT sebagai rakan kongsi kerana mereka kata di Malaysia hanya JDT sahaja mempunyai reputasi di luar negara. Jadi mereka akan menjadi rakan kongsi kita untuk membuat liputan mengenai program akar umbi, pemain, tempat latihan dan senario yang sedang kita lalui, dan itu adalah satu penghormatan yang besar buat kita.
------
62. Kita mempunyai pasukan yang sangat baik dalam pengurusan, yang betul-betul menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing, dan semua orang di dalam pihak pengurusan kita adalah 'Football People'.
--------
63. Saya bukan dilahirkan dan dididik untuk bercakap kosong. Kalau saya bercakap mengenai sesuatu perkara, saya akan laksanakan. Kalau saya ada janji, saya akan capai janji itu. Insya-Allah.
-------
64. JDT bukan sahaja sebuah pasukan bola sepak, tetapi adalah sebuah kelab untuk bangsa Johor, untuk negeri Johor. Selagi negeri Johor berkembang, kelab ini juga akan berkembang kerana kelab ini adalah milik negeri Johor.
------
65. Sasaran untuk 2016 adalah untuk menjadi juara Liga Super tiga tahun berturut-turut. Kerana yang menang dua kali berturut-turut adalah kita, Selangor dan Kelantan, jadi saya mahu mencipta sejarah baru bahawa JDT adalah pasukan pertama yang menang Liga Super tiga tahun berturut-turut.
------
66. Tahun ini dari segi bajet, kewangan kita agak teruk sedikit kerana salah satu penaja kita telah menarik diri. Kelab telah mengalami kerugian RM25 juta, tetapi Ahamdulillah kita telah mendapat semula RM100 juta.
------
67. Penyokong kena sedar bahawa duit ini tidak turun dari langit. Jika kita tidak pandai gunakan dengan betul dan tidak pandai menjana kewangan untuk kelab, tidak mustahil kita akan bankrap.
------
68. Agenda kita tahun ini adalah untuk memulakan projek akademi dan juga stadium baru.
-------
69. Untuk akademi fasa pertama, kita perlu mempunyai ibu pejabat, asrama, fasiliti gimnasium dan kita mulakan dengan lima padang bolasepak. Untuk akademi fasa kedua pula adalah menambah lagi beberapa fasiliti gimnasium dan pusat latihan tertutup termasuk tiga lagi padang bolasepak dan stadium mini.
------
70. Untuk perancangan tahun ini, mungkin ada pertukaran pemain sebelum musim bermula untuk pada 13 Februari ini. Dalam masa 3-4 hari kita akan memberitahu nama pemain import baru, pemain ini juga telah menunjukkan minat untuk datang ke Johor dan akan menjadi pemain JDT.
-------
71. Jadi inilah perancangan kita untuk tahun 2016, untuk 2017 saya akan sampaikan pada pertengahan musim 2016.
-------
72. Untuk pemain tempatan, pada pertengahan musim nanti kita akan dapatkan beberapa pemain tempatan daripada kelab-kelab lain termasuk dari pembangunan belia kita. Dan ini semua adalah sebahagian perancangan kita.
------
73. Saya ini sangat telus, tiada apa yang saya hendak sembunyikan daripada penyokong-penyokong saya. Awak berhak tahu apa sahaja.
-------
74. Siapa yang layak untuk menggantikan Lucho? Kita tidak boleh gantikan Lucho dengan pemain muda. Kenapa? Kerana Lucho adalah pemain yang berpengalaman dan sayangkan projek kelab ini. Lucho akan balik sini pada bulan Februari ini untuk menjadi pembantu jurulatih kepada Mario Gomez. Dia mahu berkhimat dengan JDT, dia sayangkan JDT, dia mahu duduk Johor, dan nak jadi sebahagian dari projek kelab bolasepak JDT.
------
75. Apabila Mario sudah tidak lagi berkhidmat dengan JDT, Luciano Figueroa akan jadi pengurus JDT. Itu adalah sasaran kita.
------
76. Kenapa kita tidak ambil pemain muda? Kita perlukan orang yang berpengalaman yang boleh bimbing kita senjata utama kita. Siapa senjata utama tersebut? Beliau adalah Jorge Pereyra Diaz.
-----
77. Pemain sasaran kita merupakan seorang yang berpengalaman, menjaringkan gol dimana sahaja dia pergi, berasal dari Argentina, bermain di Brazil. Nama samarannya adalah Piratas (Bahasa Spanish bermaksud pirates iaitu lanun).
-----
78. Dalam perbincangan, beliau bersetuju untuk ke Johor tetapi sekarang ini kita perlu tunggu keputusan kelab beliau. Kalau permintaan kelabnya begitu tinggi, kita terpaksa tukar perancangan. Kita tidak boleh belanja berlebihan dan menjejaskan kewangan kelab. Kewangan kelab adalah keutamaan pertama.
------
79. Pilihan kedua, jika kita tidak dapat pilihan pertama, bekas pemain Manchester City dan penyerang Brazil, 16 gol dalam 22 perlawanan di Qatar. Pernah bermain di Manchester City, di Everton. Juga di World Cup, skuad Brazil baru-baru ini. Beliau adalah sasaran kedua kita. Sasaran ketiga saya adalah pemain yang pernah bermain di Lyon, Perancis. Inilah tiga sasaran.
-----
80. Kita berdoa Insya-Allah kita nak sasaran pertama kerana dia yang saya rasakan paling sesuai untuk pasukan. Kalau dia tak jadi, inilah kita punya sasaran yang lain.
-------
81. Pemain tempatan, tidak ada apa-apa perubahan. Mungkin akan ada pemain pertahanan kiri atau kanan baru.

Wednesday, January 27, 2016

UNDANG-UNDANG FAM PALING BODOH, KATA TMJ



Pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak tuntutan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) terhadap bekas pemain Harimau Muda C, Muhammad Hafiy Haikal Ismail yang memilih menyertai JDT II untuk saingan Liga Malaysia musim ini.

Bagi Tunku Ismail yang juga penaung Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), seseorang pemain wajar memilih haluan kerjaya profesionalnya selepas program Harimau Muda dibubarkan.

Tunku Ismail juga berasa, peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mewajibkan bekas pemain Harimau Muda pulang ke negeri asal adalah tidak lagi relevan.

"Pada saya undang-undang FAM adalah undang-undang paling bodoh sekali. Pada saya pemain Harimau Muda boleh pergi ke mana-mana pasukan yang mereka mahu, kerana kita tidak boleh memaksa pemain untuk bermain bersama pasukan yang tidak dikehendaki mereka," kata Tunku Ismail.

KLFA sebelum ini menegaskan akan menuntut kelibat Hafiy bersama dua lagi bekas pemain Harimau Muda C, M. Kogileswaran dan R. Dinesh.

Dalam pada itu, Tunku Ismail mengakui masih belum berpuas hati dengan aksi pra musim JDT dan sudah pun mengadakan pertemuan dengan pengendali pasukan Mario Gomez.

Tunku Ismail tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan dan skuad JDT akan hanya disahkan sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain 14 Februari depan.

Tuesday, January 19, 2016

Biarkan Mereka Terus Menyalak Bukit, Bukit Tak Runtuh ! - TMJ

TEMURAMAH EKSKLUSIF BERSAMA DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR DI THAILAND

S: Ampun Tunku, saya menjunjung kasih kerana meluangkan masa untuk sesi temubual ini, walaupun Tunku sepatutnya berehat ketika ini di Thailand. Tunku, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah atas gimik pelancaran jersi yang cukup menakjubkan baru-baru. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah pihak yang mengatakan JDT meniru iklan Nike yang dibuat di Brazil pada tahun 1998. Apa pandangan Tunku mengenai isu ini?

J: Pertama sekali, saya memang mahukan pelancaran jersi yang menggunakan konsep video. Idea pertama adalah untuk membuat penggambaran di sebuah pulau di Johor yang menampilkan bot JDT. Malangnya, bot JDT itu sedang diservis dan tidak dapat digunakan. Pasukan produksi kemudiannya mencadangkan agar menukar ke lokasi yang lain iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dan saya bersetuju. Saya mahukan pelancaran jersi kami berbeza daripada yang pernah dilakukan sebelum ini yang mana pasukan- pasukan lain menggunakan pemain naik ke pentas di hotel atau pusat membeli-belah. Saya mahu pelancaran jersi JDT kali ini lebih gemilang. Malangnya, mentaliti masyarakat Malaysia kebiasaanya adalah lebih berminat untuk mencari kesalahan orang lain dan bukannya memberi kredit kepada mereka yang ingin berubah dan bergerak maju ke hadapan. Jika anda melihat perkembangan JDT tentang apa idea-idea yang telah diikuti oleh JDT terdapat beberapa lagi termasuklah 'seat bucket' untuk 'bench player', yang saya ikut dari Sepanyol. Saya suka dengan idea meletakkan 'seat bucket' kereta yang digunakan dalam stadium di Sepanyol dan saya juga mengikuti apa yang mereka lakukan di sana. Saya juga menyusun atur bilik persalinan sama seperti di tempat mereka. Jika anda melihat program pembangunan belia JDT, saya juga mengikuti kepakaran dari Jerman. Lihat juga bas kami, kami mengikuti reka bentuk AC Milan dan Juventus di mana mereka meletakkan logo mereka yang besar di belakang bas pasukan mereka. Semua ini adalah untuk kebaikan bola sepak tempatan. Saya akui bahawa saya telah banyak belajar dari semua negara-negara yang jauh di hadapan kita. Malangnya, apabila saya melihat orang-orang yang tidak senang dengan JDT, semua yang saya lakukan dipersoalkan, dikritik dan seolah-olah ianya satu isu yang sangat besar. Bagaimana anda langsung tidak bersuara apabila Terengganu meniru bilik persalinan kami? Anda tidak pula jadikan isu apabila pasukan mula meletakkan logo besar di belakang bas mereka. Pasukan lain juga meletakkan 'seat bucket' di bangku pemain mereka seperti mana kami lakukan semenjak 2013. Saya juga mula menggunakan 'LED board' dan kini beberapa pasukan juga mula meniru. Kami menjadi peneraju dalam tanahair, mengambil pelbagai idea dari banyak negara dan idea kami pula ditiru oleh banyak pasukan lain di sini. Dan sepanjang pengetahuan saya, harta intelek adalah seperti lirik, logo, rekagrafik dan muzik. Belum pernah saya dengar visual atau idea dihadkan oleh hakcipta. Semua ini tidak pula dijadikan isu. Mengapa? Jawapannya adalah mudah. Sesetengah orang cemburu dan iri hati kepada Johor semenjak kemerdekaan pada tahun 1957. Johor sentiasa menjadi moden dan unik berbanding dengan negeri lain di Tanah Melayu. Ini adalah hakikatnya sejak dahulu dan orang akan sentiasa cemburu dengan Johor. Tetapi apabila negara dalam kekacauan, anda mula mengusulkan kepada DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor untuk menyuarakannya kepada para pemimpin anda. Anda lupa apa yang anda telah lakukan adalah membuat Bangsa Johor, termasuk diri saya seolah-olah kami ini orang luar. Saya menggesa kerajaan agar benar-benar melihat situasi ini. Kerajaan benar-benar perlu untuk mengukuhkan pendirian mereka ke atas media dan media sosial dimana ia boleh menjadi satu platform untuk memecahbelahkan rakyat kerana bolasepak ini melibatkan masyarakat yang besar. Berbalik kepada isu bolasepak, tidak ada isu sebenarnya, saya rasa saya membawa banyak pembaharuan kepada bola sepak, anda boleh bertanya kepada pesaing saya, saya pasti mereka semua akan mengakuinya. Sekarang kita perlu bertanya kepada diri kita sendiri tentang perkembangan bola sepak tempatan dan bukannya mencari kesalahan orang lain dan itulah sebabnya sangat sukar bagi negara ini untuk bergerak ke hadapan kerana mentaliti tempatan dan tahap pendidikan lebih tertumpu kepada perkara-perkara yang remeh dan tidak berfaedah. Sedihnya, saya mempunyai ramai kawan dari pelbagai kaum, tetapi kaum saya sendiri yang mempersoalkan Institusi Diraja dan pasukan bola sepak, sedangkan saya tidak melihat kaum lain mengutuk perkara ini. Mereka lebih berusaha untuk mencari rezeki demi keluarga mereka, sedangkan kaum saya berusaha untuk membunuh sesama sendiri. Ini adalah kelemahan orang Melayu sejak dahulu lagi. Jika anda mahu negara ini maju ke hadapan dan mahu keadaan bola sepak untuk terus membangun, sila tukar mentaliti dan minda anda.

S: Menjunjung kasih atas masa yang Tunku luangkan. Ada apa-apa yang Tunku ingin tambah? Mungkin pesanan buat penyokong Tunku?

A: Kepada semua penyokong JDT di sini dan di luar negara, saya ingin menggesa anda semua usah melayan mereka yang mempunyai mentaliti rendah kerana saya juga mempunyai satu soalan untuk anda. Sejak transformasi JDT pada tahun 2013, anda semua telah dikutuk, dikritik dan diperkecilkan termasuk diri saya. Tetapi di mana kelab kita sekarang ini berbanding dengan semua kelab-kelab yang lain? Oleh itu, mengapa kita perlu melayan mereka. Biarkan mereka terus menyalak bukit, bukit tidak akan runtuh. Kami telah meletakkan Johor di mata dunia berdasarkan pencapaian, kejayaan dan infrastruktur bolasepak terbaik di tanahair. Allah SWT telah memberkati kewangan kelab kami. Ianya kelihatan seperti semakin teruk kami dikutuk, Allah SWT terus memberkati kami dan kebenaran akan menyebelahi kami. Marilah kita kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda kita sendiri dan jangan terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang negatif.

S: Terima kasih Tunku

Sunday, January 17, 2016

Bayar Dulu Gaji Pemain Yang Tertunggak ! - TMJ

TMJ: Bayar dulu gaji pemain, jangan ghairah cari penaja saja
“Usahlah terlalu mengejar trofi semata-mata sehingga melupakan perkara yang lebih penting. Pemain-pemain dan jurulatih bolasepak mempunyai keluarga untuk disara.”
Menulis di laman rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT) di Facebook, baginda juga mengingatkan bahawa pemain dan jurulatih “ini manusia, bukan ternakan”.
“Utamakan dahulu nasib mereka daripada terlalu sibuk dengan trofi yang hendak diraih,” kata baginda lagi, yang turut dikenali TMJ.
Baginda bagaimanapun memuji langkah hartawan yang berhasrat menaja pasukan bola sepak negara, yang dianggapnya satu langkah positif.
Selepas Kelantan ditaja produk kosmetik Qu Puteh dan Pamoga, kini makin banyak produk kecantikan berhasrat menaja kelab bola sepak bagi musim ini.
Syarikat D’Herbs Holding Sdn Bhd sedang menimbangkan untuk menaja juara Piala Malaysia musim lalu, Selangor.
Nouvelles Visages pula merancang menaja Selangor dan JDT, juara Piala AFC tahun lalu.
Satu lagi syarikat kosmetik Megah Perawan Sdn Bhd bakal menaja pasukan Liga Perdana, PKNS.

Friday, January 15, 2016

ESOK ADALAH MAJLIS PELANCARAN JERSI BAHARU MUSIM 2016 KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM

Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) akan mengadakan majlis pelancaran jersi baharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim untuk musim 2016 pada hari Sabtu, 16hb Januari ini jam 8.45 malam bertempat di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor. Para penyokong Harimau Selatan dijemput hadir ke majlis tersebut bagi sama-sama memeriahkan serta menyaksikan rekaan jersi terbaru kelab bolasepak JDT. Pastikan anda tidak terlepas untuk menjadi sebahagian daripada penyokong terawal melihat jersi terbaru ini. Luaskan Kuasamu Johor.

Sunday, January 10, 2016

Rundingan Kerjasama JDT - Frenz United

BERSYUKUR DENGAN REZEKI YANG DIKURNIAKAN, NAMUN SENTIASA INGAT BAHAWA KELAB KITA ADALAH TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA

Untuk makluman semua penyokong, pertama sekali adalah saya ingin mengingatkan bahawa walaupun saya adalah pemilik kelab JDT, kelab JDT juga adalah sebahagian milik rakyat Johor. Adalah menjadi tanggungjawab saya dan anda, untuk bersama-sama membangunkan kelab ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Tuanku atas kurniaan sebanyak RM50 juta kepada kelab bolasepak JDT. Ini adalah daripada kesedaran bahawa projek bolasepak Johor ini adalah satu projek jangka panjang yang juga menjadi faktor menyatupadukan Bangsa Johor. Sungguhpun dengan rezeki yang ada, kelab juga perlu berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat, demi menjamin masa depan kelab dalam jangka masa panjang, memandangkan kita tidak sekaya sesetengah kelab yang ditaja oleh hartawan di negara ini. Keutamaan kita sekarang adalah pada pembangunan infrastruktur dan bakat-bakat muda, serta simpanan kewangan untuk masa akan datang. Kita perlu belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan oleh sesetengah pesaing kita, kerana orang yang bijak belajar daripada kesilapan orang lain. Kita telahpun mencipta sejarah, sekarang terpulang kepada kita untuk berusaha meneruskan kecemerlangan. Apa yang kita telah capai sehingga hari ini hanyalah permulaan, dan perjalanan kita masih jauh.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada semua penyokong bahawa JDT kini dalam proses rundingan bersama Frenz United, dengan kemungkinan JDT mempunyai pegangan pemilikan sebanyak 50% dalam kelab tersebut. Dengan itu, Friends United akan menjadi sebahagian platform untuk pembangunan dan menyalurkan bakat-bakat muda kepada JDT. Namun begitu, kita hendaklah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh demi kemajuan kelab, sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan, serta sentiasa merendah diri.

DYAM BRIGADIER JENERAL TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM, TUNKU MAHKOTA JOHOR.

DYMM SULTAN JOHOR KURNIA SUMBANGAN RM50 JUTA KEPADA KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM


Selain keprihatinan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, dalam pembangunan negeri Johor, amal kebajikan, zakat dan waqaf, serta yayasan-yayasan yang dinaungi, baginda berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM50 juta kepada kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim. DYMM Tuanku membuat keputusan tersebut kerana baginda amat gembira melihat sukan bolasepak memainkan peranan yang penting dalam menyatupadukan Bangsa Johor, dan mengharumkan nama Johor di persada dunia. DYAM Tunku Mahkota Johor, selaku pemilik kelab bolasepak JDT menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Tuanku atas kurniaan kepada JDT tersebut.

Connect With Us